Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, dan Iran pula membalas dengan serangan misil ke Israel serta beberapa negara Teluk yang ada pangkalan AS. Pada masa sama, laluan Strait of Hormuz terganggu, penghantaran minyak dan LNG ada yang dihentikan, dan banyak penerbangan di Timur Tengah dibatalkan. [Reuters]
Kenapa orang Malaysia kena ambil serius? Walaupun perang itu jauh, kesan pertama yang sampai ke sini biasanya bukan peluru, tapi harga minyak, logistik, tambang kapal terbang, sentimen pasaran, dan harga barang import. Lagi satu, Strait of Hormuz yang memang laluan kritikal: sekitar 20% penggunaan petroleum dunia melalui situ akan terkesan.

Dalam masa yang sama, kita kena waras juga. Malaysia belum berada dalam situasi perang, dan kerajaan masih meneruskan pemantauan harga minyak. Harga runcit yang diumumkan Kementerian Kewangan bagi minggu sebelum ini ialah RON97 RM3.10/liter, RON95 bukan subsidi RM2.54, RON95 BUDI95 RM1.99, diesel Semenanjung RM2.99. ini sehingga tarikh 25 Feb 2026 yang telah dikemaskini pada 18 Feb 2026. Kita tunggu jika ada perubahan drastik lepas tarikh ni.
Malaysia juga secara rasmi mengutuk serangan dan menegaskan ia melanggar prinsip kedaulatan serta undang-undang antarabangsa. Itu menunjukkan isu ini dipantau rapat di peringkat diplomatik juga.

Bila krisis global meletup, kerajaan boleh buat keputusan besar dengan sangat cepat, dan rakyat biasa yang tak bersedia akan rasa tempias dulu. Masa Malaysia umum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP/MCO) pada 16 Mac 2020 untuk bermula 18 Mac 2020, terus berlaku serbuan ke pasar raya dan pembelian panik di banyak tempat. Bernama lapor orang berpusu-pusu ke pasar raya sampai sesak di pintu masuk dan kaunter.
Lepas itu, benda yang jadi bukan setakat rak tinggal kosong. Rutin hidup terus bertukar. PKP ketika itu menutup kebanyakan premis kecuali sektor essential, menghadkan pergerakan, menutup sekolah, IPT, dan menghadkan perjalanan keluar masuk negara. Maksudnya, walaupun makanan asas masih ada dalam sistem bekalan, akses, pergerakan, kerja, persekolahan, dan urusan harian tiba-tiba jadi sempit.
Data rasmi DOSM menunjukkan kadar pengangguran Malaysia naik kepada 4.5% pada 2020, dengan 711,000 orang menganggur berbanding 508,200 pada 2019. Ini belum masuk cerita bisnes kecil terhenti, pekerja potong gaji, cash flow keluarga ketat, dan ramai terpaksa ubah gaya hidup mengejut.
Satu lagi, awal COVID dulu bukan sahaja makanan, tapi face mask dan hand sanitiser pun jadi susah dicari di sesetengah tempat kerana permintaan mendadak. The Star lapor beberapa farmasi di Ipoh kehabisan surgical mask akibat permintaan tinggi. Ini contoh macam mana krisis global boleh buat barang yang sebelum itu nampak biasa, tiba-tiba jadi rebutan.
Selain itu, jalan raya pun berubah jadi ruang kawalan roadblock, semakan dokumen, had rentas negeri, dan SOP yang berubah ikut fasa. Bagi orang yang fikir “ala, kalau tak perang tak ada apa jadi,” COVID dah tunjuk bahawa kehidupan seharian boleh bertukar jadi sangat terkawal walaupun bekalan negara tak sangkut sepenuhnya.
Jadi pengajaran paling besar daripada sejarah COVID ialah ini:
krisis tak perlu datang dalam bentuk bom jatuh di Malaysia untuk buat rakyat ambil pengajaran dan langkah bijak.
Jadi soalan paling penting apa langkah bijak rakyat Malaysia patut buat sekarang?
1) Jangan panik. Just prepare tapi bukan sampai paranoid.
Benda paling bahaya masa dunia tegang bukan setakat perang tapi panic buying dan keputusan emosi. Tak perlu pergi borong satu kedai. Yang patut dibuat ialah pastikan rumah ada stok asas yang munasabah untuk 2–4 minggu:
- beras, telur, makanan kering
- ubat asas & ubat prescription
- lampu suluh, power bank, bateri
- dokumen penting dalam softcopy + hardcopy
- sedikit cash kecemasan
Ini bukan sebab Malaysia nak berperang. Ini cuma kebiasaan yang elok kita buat dalam keadaan dunia yang tak stabil. Kejap krisis, kejap wabak, kejap perang, kejap taman takda air (eh!) sedar-sedar lockdown.
2) Kuatkan kewangan keluarga sekarang
Kalau konflik ni berpanjangan, benda yang paling cepat terasa ialah kos hidup. Kalau masuk mana-mana kelas kewangan pun antara yang akan disebut adalah tentang sinking fund, simpanan gaji 3 bulan dll. Jadi buat 4 benda ni terus:
a. Tahan belanja bocor 30 hari
Tangguh pembelian yang bukan keperluan.
b. Simpan emergency cash
Target minimum: belanja asas 1 bulan, lepas tu naikkan ke 3 bulan.
c. Kurangkan hutang jangka pendek
Terutama hutang kad kredit / komitmen kadar faedah tinggi.
d. Lock keperluan utama awal
Kalau memang tiap bulan guna barang baby, ubat, dry food kucing, supplement, barang dapur tetap beli awal secara berjadual, bukan panik.
Bila dunia gila, cash flow yang waras lebih penting daripada gaya hidup nampak kaya.
3) Untuk orang bisnes, prepare untuk 3 gangguan
i. Kos bahan naik
Barang import, packaging, bahan mentah, freight boleh terkesan kalau konflik ni mengganggu shipping dan oil.
ii. Customer jadi cautious
Bila orang takut ekonomi tak stabil, mereka hold spending.
iii. Delivery lead time boleh lari
Terutama kalau supplier bergantung pada import.
Apa nak buat:
- semak supplier alternatif lokal/ASEAN
- simpan stok untuk fast-moving item
- jangan over-stock barang slow moving
- revise pricing secara berperingkat, bukan mengejut
- kuatkan produk essential berbanding nice to have
4) Jangan percaya semua benda yang lalu di TikTok, Telegram, WhatsApp
Masa krisis, propaganda dan fake news memang meletup. Dalam laporan Reuters sendiri pun ada dakwaan besar seperti kematian Khamenei yang masih dipertikai dan dinafikan Iran. Maksudnya, dalam suasana perang, maklumat bergerak laju tapi tak semua confirm.
Jadi, dapat saja any info semak:
2–3 sumber besar
bezakan confirmed, claimed, dan rumour
jangan share video lama konon breaking
follow sumber rasmi: Wisma Putra, Bernama, Reuters, AFP, AP
5) Elak travel tak perlu ke rantau Timur Tengah buat masa ni
Penerbangan di Timur Tengah memang dah terganggu selepas serangan ni. Jadi kalau ada urusan tak mendesak ke rantau itu, elok tangguh dulu. Kalau ada ahli keluarga di sana, pantau advisori rasmi Malaysia dan syarikat penerbangan.
Bila dunia tak menentu, ada beberapa skill yang sangat bernilai:
- tahu simpan stok asas dengan bijak
- tahu tanam sedikit makanan mudah
- tahu urus air, elektrik, backup kuasa
- tahu masak, repair benda asas, dan berjimat
- ada komuniti jiran/keluarga yang saling bantu
Orang yang paling stabil masa krisis bukan orang paling kaya semata-mata. Biasanya orang yang boleh adapt.
7) Dari sudut pelaburan: jangan gelojoh
Biasanya bila perang meletup:
- minyak boleh spike
- saham boleh volatile
- emas jadi tempat lindung nilai
- mata wang dan sentimen global jadi tak menentu
8) Kuatkan komuniti kecil kita di Malaysia
- kenal jiran
- ada group keluarga yang aktif
- tahu siapa warga emas/sakit dalam kawasan
- ada plan kalau bekalan terganggu sementara
- bantu orang bezakan berita sahih dan propaganda
Kadang-kadang ketahanan negara tu bermula dengan kejiranan yang tak selfish.
Untuk rakyat Malaysia, langkah terbaik sekarang bukan takut tapi bukan juga denial.
Yang kita perlu buat ialah:
- tenangkan kepala
- kemaskan kewangan
- sediakan stok asas secara waras
- pantau berita sahih
- kurangkan kebergantungan pada sistem yang rapuh
- jadi lebih resilient sebagai keluarga dan komuniti
Perang besar jauh sana mungkin kita tak mampu hentikan. Tapi kita masih boleh pastikan rumah kita tak berperang dulu dengan panik, hutang, dan maklumat palsu. Perang US-Iran: Apa yang penting, kita sebagai rakyat Malaysia faham dan sedar apa yang kita perlu ambil tahu dan ambil serius.
Sekian.

2 thoughts on “Perang US-Iran: Kenapa orang Malaysia kena ambil serius?”